‘Islam Memimpin’, bukan ‘Islam Dipimpin’

Seorang individu Islam mestilah senantiasa menyematkan azam untuk melaksanakan Islam secara keseluruhan. Allah sendiri telah berfirman di dalam al-quran supaya masuk ke dalam Islam secara keseluruhan. Ia bermakna Islam tidak boleh dijuzu’-juzu’kan lagi. Sifat Islam itu adalah syumuliah, bersifat menyeluruh. Makanya, tidak pernah terbayang politik bukan sebahagian daripada Islam. Mereka yang cuba mengasingkan mana-mana aspek kehidupan dengan Islam hakikatnya adalah apa yang dikatakan sebagai secular.
Bahayanya penyakit sekular ini kerana ia mengasingkan Islam dalam bentuk yang sempit. Tidak hairanlah ramai di kalangan masyarakat Islam yang gagal dalam bentuk pengaplikasian Islam dalam kehidupan seharian. Mereka hidup dengan mengasingkan Islam kepada bentuk ibadat khusus semata. Akhirnya, dalam aspek kehidupan yang lain, mereka mengabaikan syariat Islam. Ekonomi langsung terpalit dengan unsur riba. Perniagaan penuh dengan tipu helah semata-mata untuk keuntungan. Politik tercemar dengan akhlak yang langsung tidak menggambarkan keperibadian Muslim, mencerca dan memfitnah tanpa ada batasan syariat!
Makanya, di mana silap kita di sini? Adakah ibu bapa yang gagal dalam mendidik anak-anak? Salah guru yang tidak menyertakan unsur-unsur Islam dalam pembelajaran? System pendidikan berteraskan peperiksaan? Mungkin semuanya ada peranan masing-masing.
Akan tetapi, semuanya sebenarnya berasal dari satu sahaja: KEPIMPINAN. Ibu bapa sebagai pemimpin dalam keluarga. Guru sebagai pemimpin di dalam kelas. Menteri sebagai pemimpin kepada portfolio masing-masing. PM sebagai pemimpin kepada Negara. Kegagalan seorang pemimpin membawa Islam dalam kehidupan mereka yang dipimpin akan akhirnya membawa kepada tiadanya unsur-unsur Islam dalam masyarakat. Tidak kita nafikan, satu masyarakat bermula dengan satu individu. Semuanya perlu dipimpin. Oleh sebab itu jugalah Rasulullah s.a.w. diutuskan ke dunia, untuk memimpin masyarakat ketika itu.
Pentingnya kepimpinan sehinggakan ada pepatah yang mengatakan lihatlah kepada pemimpin untuk melihat bagaimana masyarakat pimpinannya. Di sinilah, peri pentingnya meletakkan Islam di tempat tertinggi dan tidak mengabaikannya begitu sahaja. Islam telah meletakkan garis panduan yang cukup jelas. Pembawaan Islam akan akhirnya membawa kepada kesejahteraan, itulah janji Allah. Makanya, mengapa tidak yakin dengan janji Allah?


Seorang imam yang memimpin solat perlulah daripada golongan yang tidak FASIQ. Fasiq yang ertinya mereka yang tidak melakukan dosa besar atau melakukan dosa-dosa kecil secara berterusan. Jika Imam solat itu pun memerlukan mereka untuk tidak menjadi fasiq, inikan pula imam kepada sebuah Negara. Jika anda merasakan anda fasiq, usah bercita-cita untuk menjadi PM!

Seorang suami yang juga ayah, perlu menjadi seorang ketua keluarga yang memimpin keluarganya dari bahaya api neraka. Maknanya, keluarga tersebut perlu dipimpin dengan Islam. Jika keluarganya tidak mampu ditarbiyah untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan, bagaimana pula dia mampu mentarbiyah masyarakat untuk mengamalkan Islam?
Kuasa sebagai suatu tanggungjawab yang kelak akan dipersoalkan di akhirat, apakah kuasa itu dilakukan untuk meletakkan Islam di tempat yang sepatutnya… Maka menyokong mereka yang gagal dalam menggunakan kuasa untuk berbuat demikian juga adalah satu DOSA, seolah-olah kita redha dengan apa yang dilakukan selama ini. Umat Islam di mana-mana jua terikat dengan persoalan DOSA dan PAHALA, tidak dapat kita lari daripada kedua-dua ini. Oleh hal yang demikianlah, tidak wajar memisahkan Islam dengan mana-mana aspek kehidupan, kelak bertambah DOSA kita!
BIARLAH ISLAM MEMIMPIN, dan bukan ISLAM DIPIMPIN

Al-Fatihah pembuka perjalanan

1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

5. Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.

6. Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.

7. Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat. (al-Fatihah: 1-7)

Assalamualaikum w.b.t.

al-fatihah, surah pembukaan buat bekalan kepada perjalanan menuju Allah...

moga mendapat keredhaan dan keberkatan dariNya.

sebagai satu cara pembuktian kepadaNya pengabdian dalam alam maya, moga akhirnya ku berdaya mencapai kasih sayangNya.

tiada niat lain, melainkan mendekatkan diri padaNya.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Ku mulai blog ini dengan kata-kata keramat yang sepatutnya menjadi bisikan dan ucapan Muslim setiap waktu dan ketika.
Ya Allah...
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.
Pemurahnya Engkau tidak mengira kaum dan bangsa, rezekiMu terus-terusan diberikan kepada makhlukMu.
Siapalah aku di sisiMu, sekadar seorang daripada hamba-hambaMu.


Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.


Alhamdulillah atas segala kurniaan yang diberikan ke atas kita. Tiadalah yang mampu mengurniakannya melainkan Dia yang menguasai alam ini. Hanya dengan izinNya, segalanya dapat direalisasikan. Oh, betapa Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Diberikan kepada hamba-hambaNya yang terbaik. Kerana di pandangan mereka yang beriman, akhiratlah yang menjadi titik akhir. Dunia ini suatu perjalanan yang singkat sahaja. entah bila kita akan bertemu denganNya. Mereka yang beriman pastinya merindui untuk bertemu dengan Rabbuljalil. Keimanan mereka kepada hari akhirat menjadikan mereka berusaha ke arah itu, bahawa yang menguasai segalanya adalah Allah. Hanya dengan rahmatNya sahajalah yang mampu akhirnya melontarkan diri mereka ke dalam syurga idaman, dan bukannya atas dasar 'amalan. betapa jika dengan angkuhnya kita ingin dinilai dengan 'amalan kita semata, tidak mampu untuk kita ke syurgaNya. Kesedaran ini menyebabkan setiap tindakan mereka yang bergelar hamba ditujukan kepada akhirat, baik kerjaya mereka, makan minum mereka atau apa sahaja aspek kehidupan manusia.
Pengharapan kepada Allah menyebabkan mereka akhirnya pasrah atas ketentuanNya. tidak kira apa hasil akhirnya, keyakinan mereka menyebabkan mereka kembali meletakkan Allah atas segalanya. Segala ujian dan keadaan yang melanda tidak melunturkan keimanan mereka, bahkan semakin bertambah-tambah. Mereka amat sedar akan pertolongan Allah akhirnya akan datang jua. Apa yang penting, mereka ikhlas dan meyakini janji Allah untuk memberikan kemenangan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.

Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.

Setiap saat dan ketika pasti datang ujian dan cubaan, yang akhirnya akan membawa kita sama ada ke jalan kebenaran atau pun jalan kebatilan. tika datang saat itu, pengharapan kepada Allah agar tidak menggelincirkan diri ke pada jalan kemusnahan amatlah penting. Suburkan sifat ihsan dalam diri. senantiasa yakin Allah melihat setiap tindakan kita. kumohon pada Rabbuljalil agar senantiasa ditetapkan hati ini pada jalan yang lurus. Jalan mereka yang beriman, dan berjuang menegakkan kalimah Allah. agar senantiasa istiqamah dalam perjuangan ini. sungguh, hati ini kekadang merasa lemah mengenangkan betapa sukarnya melawan godaan hawa nafsu dan syaitan. bukankah perkara mungkar itu senantiasa dikelilingi oleh perkara-perkara yang sungguh menawan hati dan perasaan?
aku memohon ampun kepadaMu ya Allah atas segala dosa-dosa yang lalu, kucuba sedaya upaya melawan hawa nafsu dan syaitan tetapi kekadang apakan daya, terjerumus jua dalam kancah maksiat. Maksiat yang memberikan tompokan-tompokan hitam di hati. kucuba bangun membersihkan kembali hati itu. kerana kuyakin, pintu taubat kepadaMu senantiasa terbuka. Moga Engkau senantiasa meletakkan diriku di atas jalan ini, dan tidak terpesong dan terperosok dalam lembah yang hitam.
aku ingin bangkit, aku ingin kembali kepada jalan lurus itu ya Allah...