‘Islam Memimpin’, bukan ‘Islam Dipimpin’

Seorang individu Islam mestilah senantiasa menyematkan azam untuk melaksanakan Islam secara keseluruhan. Allah sendiri telah berfirman di dalam al-quran supaya masuk ke dalam Islam secara keseluruhan. Ia bermakna Islam tidak boleh dijuzu’-juzu’kan lagi. Sifat Islam itu adalah syumuliah, bersifat menyeluruh. Makanya, tidak pernah terbayang politik bukan sebahagian daripada Islam. Mereka yang cuba mengasingkan mana-mana aspek kehidupan dengan Islam hakikatnya adalah apa yang dikatakan sebagai secular.
Bahayanya penyakit sekular ini kerana ia mengasingkan Islam dalam bentuk yang sempit. Tidak hairanlah ramai di kalangan masyarakat Islam yang gagal dalam bentuk pengaplikasian Islam dalam kehidupan seharian. Mereka hidup dengan mengasingkan Islam kepada bentuk ibadat khusus semata. Akhirnya, dalam aspek kehidupan yang lain, mereka mengabaikan syariat Islam. Ekonomi langsung terpalit dengan unsur riba. Perniagaan penuh dengan tipu helah semata-mata untuk keuntungan. Politik tercemar dengan akhlak yang langsung tidak menggambarkan keperibadian Muslim, mencerca dan memfitnah tanpa ada batasan syariat!
Makanya, di mana silap kita di sini? Adakah ibu bapa yang gagal dalam mendidik anak-anak? Salah guru yang tidak menyertakan unsur-unsur Islam dalam pembelajaran? System pendidikan berteraskan peperiksaan? Mungkin semuanya ada peranan masing-masing.
Akan tetapi, semuanya sebenarnya berasal dari satu sahaja: KEPIMPINAN. Ibu bapa sebagai pemimpin dalam keluarga. Guru sebagai pemimpin di dalam kelas. Menteri sebagai pemimpin kepada portfolio masing-masing. PM sebagai pemimpin kepada Negara. Kegagalan seorang pemimpin membawa Islam dalam kehidupan mereka yang dipimpin akan akhirnya membawa kepada tiadanya unsur-unsur Islam dalam masyarakat. Tidak kita nafikan, satu masyarakat bermula dengan satu individu. Semuanya perlu dipimpin. Oleh sebab itu jugalah Rasulullah s.a.w. diutuskan ke dunia, untuk memimpin masyarakat ketika itu.
Pentingnya kepimpinan sehinggakan ada pepatah yang mengatakan lihatlah kepada pemimpin untuk melihat bagaimana masyarakat pimpinannya. Di sinilah, peri pentingnya meletakkan Islam di tempat tertinggi dan tidak mengabaikannya begitu sahaja. Islam telah meletakkan garis panduan yang cukup jelas. Pembawaan Islam akan akhirnya membawa kepada kesejahteraan, itulah janji Allah. Makanya, mengapa tidak yakin dengan janji Allah?


Seorang imam yang memimpin solat perlulah daripada golongan yang tidak FASIQ. Fasiq yang ertinya mereka yang tidak melakukan dosa besar atau melakukan dosa-dosa kecil secara berterusan. Jika Imam solat itu pun memerlukan mereka untuk tidak menjadi fasiq, inikan pula imam kepada sebuah Negara. Jika anda merasakan anda fasiq, usah bercita-cita untuk menjadi PM!

Seorang suami yang juga ayah, perlu menjadi seorang ketua keluarga yang memimpin keluarganya dari bahaya api neraka. Maknanya, keluarga tersebut perlu dipimpin dengan Islam. Jika keluarganya tidak mampu ditarbiyah untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan, bagaimana pula dia mampu mentarbiyah masyarakat untuk mengamalkan Islam?
Kuasa sebagai suatu tanggungjawab yang kelak akan dipersoalkan di akhirat, apakah kuasa itu dilakukan untuk meletakkan Islam di tempat yang sepatutnya… Maka menyokong mereka yang gagal dalam menggunakan kuasa untuk berbuat demikian juga adalah satu DOSA, seolah-olah kita redha dengan apa yang dilakukan selama ini. Umat Islam di mana-mana jua terikat dengan persoalan DOSA dan PAHALA, tidak dapat kita lari daripada kedua-dua ini. Oleh hal yang demikianlah, tidak wajar memisahkan Islam dengan mana-mana aspek kehidupan, kelak bertambah DOSA kita!
BIARLAH ISLAM MEMIMPIN, dan bukan ISLAM DIPIMPIN

0 comments:

Post a Comment